Sunday, April 20, 2025

Siapakah pengundi berdaftar Melayu di Sabah?

Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan

KOTA KINABALU: Isu mengenai berlaku peningkatan jumlah pengundi baharu di Sabah terus hangat diperkatakan berikutan dakwaan mereka berdaftar sebagai orang Melayu.

Presiden Parti Solidariti Tanahairku (STARSABAH) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan bertanya sama ada terdapat sesuatu yang berlaku yang tidak diketahui oleh rakyat Sabah.

“Saya telah dimaklumkan bahawa ramai pengundi baharu telah didaftarkan sebagai orang Melayu.”

Persoalannya, adakah memang wujud orang Melayu di Sabah? Jika ada siapakah mereka? Dan kenapa tiba-tiba kita dibanjiri ribuan daripada mereka yang dikatakan mengaku sebagai orang Melayu, soal Dr Jeffrey.

Katanya, lebih luar biasa dan mencurigakan ialah bilangan orang yang dipanggil ‘Melayu’ itu berada dalam jumlah luar biasa besarnya.

Beliau meminta agar pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung perkara itu.

“Rakyat Sabah sangat marah sekarang. Jika ada kebenaran dalam dakwaan itu, kita risau kita akan dikalahkan dari segi jumlah oleh bukan warga Sabah yang kemudiannya akan mengundi kerajaan akan datang,” katanya.

Kecuali jumlah populasi orang Cina dan India yang sangat kecil, penduduk Sabah dikenal pasti berdasarkan etnik mereka tetapi bukan sebagai Melayu yang berasal dari Tanah Melayu.

Semalam, Dr Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, melahirkan rasa terkejut dengan apa yang disifatkannya sebagai peningkatan ‘luar biasa dan mencurigakan’ bilangan pengundi di kawasan parlimen Keningau, yang merupakan nadi masyarakat KDM di Sabah.

Keningau di kawasan pedalaman adalah kawasan Parlimen yang disandang Jeffrey.

Beliau mendedahkan bahawa jumlah pengundi di parlimen Keningau ialah 51,777 pada 2018 tetapi melonjak kepada 87,371 pada 2022 iaitu meningkat 70.7 peratus.

Beliau juga dimaklumkan bilangan pengundi muda U18 di kawasan Parlimen Keningau adalah kurang daripada 8,000.

Beliau tidak faham bagaimana jumlah itu boleh meningkat lebih 30,000 dalam masa kurang daripada lima tahun dan mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena.

Sebelum ini, Parti Maju Sabah (SAPP) membuat pendedahan mengejutkan mengenai lonjakan jumlah pengundi di Sabah.

Ia adalah daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mendedahkan peningkatan sebanyak 53.9 peratus pengundi baharu iaitu daripada 1,064, 686 pada 2008 kepada 1,638,806 tahun ini.

Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan peningkatan jumlah pengundi baharu yang menurutnya, mungkin disebabkan daripada skandal Projek IC.

Yong dilaporkan mendakwa berdasarkan semakan awal daftar pilihan raya 2022, sebilangan besar pengundi baharu itu berumur 30 tahun ke atas manakala yang lain berusia 60-an.

Dia berasa curiga melihat ramai orang berusia pertengahan umur antara pengundi baru berdaftar.

-Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights