Sunday, April 20, 2025

Pembeli kecewa masih belum boleh pindah rumah sejak 2017

Alfian (kiri) ketika bertemu Nizam di hadapan pintu pagar projek perumahan itu di sini.

Nilam Raon

TAWAU: Orang ramai yang menempah projek perumahan Residensi Ranggu Prima Tawau sejak 2017 berharap dapat menduduki kediaman itu secepat mungkin.

Wakil pembeli Allfian Wahid berkata, mereka terbeban dengan keadaan di mana rumah yang mereka beli masih belum dapat diduduki tetapi mereka sudah mula membayar sejak tahun 2017.

“Kami harap isu ini berakhir secepat mungkin sebab kalau ikut laporan dari pihak pemaju pada akhir 30 November akan selesai namun kami tengok belum ada apa-apa perkembangan.

“Sebab itu kami turun untuk menyuarakan perasaan kecewa kerana rumah ini ada pembeli yang sudah dipotong gaji sejak tahun 2017 dan kebanyakan kami menyewa di luar jadi kami rasa komitmen itu sebagai beban,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui media selepas mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu pagar projek perumahan itu di sini.

Sementara itu Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Kerajaan Negeri akan membantu pembeli projek perumahan itu sehingga berjaya mendapatkan Sijil Kelayakan Menduduki (OC).

Jelasnya, pada ketika ini sijil OC projek perumahan berkenaan masih belum dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan disebabkan keperluan asas iaitu kemudahan bekalan air yang masih tidak dipenuhi pemaju.

“Tapi difahamkan kerajaan telah membina stesen pam air di bahagian barat daya dan di Jalan Mariano. Pihak Jabatan Air juga telah membina tangki-tangki takungan air dan hampir seratus peratus siap,” jelasnya.

Menurut Alfian, apabila masalah air ini dapat diselesaikan beliau akan meminta sekali lagi kepada pihak berkaitan untuk membuat penilaian sekali lagi ke atas takungan-takungan air.

“Jika semuanya teratur dalam masa terdekat isu OC ini akan dapat diselesaikan,” katanya.

– Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights