Kerusi BN mesti kekal di Pensiangan: Umno

KOTA KINABALU: Kerusi Barisan Nasional (BN) di Pensiangan mesti dikekalkan kerana penyandangnya adalah daripada Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) iaitu satu daripada komponen BN di negeri ini.
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Pensiangan dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, perkongsian kuasa di Pensiangan harus diraikan bersama di antara Barisan Nasional dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Cubaan meminggirkan BN menunjukkan kerakusan kuasa Presiden STAR,” katanya mengulas kenyataan Datuk Dr Jeffery Kitingan semalam yang mahu diadakan ‘pertandingan mesra’ di antara BN dan GRS bagi kerusi parlimen Pensiangan pada pilihan raya umum 19 November (PRU15) ini.
Katanya, Presiden Star itu sepatutnya menghormati keputusan ketua GRS iaitu Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Haji Hajiji Noor dan Ketua BN Sabah Datuk Bung Moktar Radin. Star adalah sebahagian daripada GRS manakala PBRS pula adalah sebahagian daripada BN.
“Presiden Star cuba menafikan kerusi BN di Pensiangan dengan mengelirukan pengundi. Star mempunyai agenda yang tersembunyi dan kenyataan Kitingan yang mahu menjadikan Pensiangan sebagai medan persahabatan tidak harus berlaku,” katanya.
Ahli Parlimen Arthur Kurup adalah penyandang kerusi Pensiangan. Beliau juga adalah Timbalan Presiden PBRS.
Semalam Kitingan memberitahu GRS akan meletakkan calon daripada Star untuk menentang calon BN dalam apa yang dikatakannya sebagai ‘pertandingan mesra’ di antara dua pakatan itu.
“Saya cadangkan kerusi Parlimen Pensiangan dipertimbangkan untuk diberikan kepada GRS mengikut kehendak akar umbi untuk ‘pertandingan mesra’,” kata Kitingan yang merupakan Timbalan Ketua Menteri.
“Walaupun PBRS adalah sebahagian daripada Kerajaan Sabah tetapi BN-PBRS bukanlah ahli GRS,” kata Dr Jeffrey di majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya GRS Parlimen Pensiangan di pejabat parti itu di Kampung Biah Tengah di sini Jumaat.
Walaupun tiada pengumuman mengenai calon, adalah diketahui bahawa Star akan meletakkan timbalan presidennya Datuk Ellron Angin, Menteri Belia dan Sukan Negeri sebagai calon.
Ellron adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook yang merupakan salah satu daripada dua kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Pensiangan. Satu lagi ialah Tulid. Kedua-dua kerusi adalah milik Star.
– Tv Sabah News
0 Comments