GRS berjaya satukan musuh, kawan politik: Dr Jeffrey

TENOM: Sabah memasuki era politik yang hebat di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang keutuhan perpaduannya memberikan rakyat Sabah kuasa untuk memusnahkan politik pecah dan perintah yang sudah lama membuatkan mereka menderita.
“Pemimpin GRS sudah bosan rakyat Sabah berpecah dan diperintah oleh kuasa persekutuan. Sudah tiba masanya kita sama-sama menjadikan Sabah sebagai kuasa yang dipandang tinggi.
“Untuk sekian lama kita dipecahkan, dicincang menjadi kepingan supaya persekutuan boleh memerintah dan membuat keputusan untuk kita,” kata Presiden Parti Solidariti Tanahairku (StarSabah) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Menurutnya, Sabah mengambil masa 50 tahun untuk menyedari hakikat ini dan sepanjang tempoh itu, Sabah rugi banyak. Beliau berucap di majlis Road Show GRS dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya di sini, Sabtu.
Katanya, GRS berjaya menyatukan rakan dan musuh politik lama di bawah naungannya membuktikan pemimpin Sabah dalam gabungan kini menghargai perpaduan sebagai sumber kuasa Sabah.
Beliau menambah bahawa hasil daripada perpaduan politik Sabah akan menjadikan kerajaan GRS sebagai kuasa politik yang boleh mengatasi kuasa dari Kuala Lumpur.
“Di bawah GRS, kita tidak kisah siapa yang akan menjadi Perdana Menteri. Apa yang penting ialah semua hak kita dikembalikan,” katanya.
Sabah yang dikatakan sebagai antara negeri termiskin di negara ini akan terus berpecah dari segi politik dan akan semakin tenggelam dalam kemiskinan jika kita semakin tidak bersatu.
“Sabah sudah jauh ketinggalan di belakang Sarawak dari segi pembangunan. Semua ini kerana kita tidak bersatu,” katanya.
Bagaimanapun, Sabah masih mempunyai perjalanan yang panjang untuk menjadi sebuah negeri yang hebat di negara ini dan tidak boleh membiarkan dirinya terganggu dengan semua masalah yang timbul.
Beliau juga memberi amaran kepada parti pembangkang yang mendakwa memperjuangkan hak dan perpaduan Sabah tetapi sebenarnya mereka tidak perduli.
Tanpa menamakan parti mana, Dr Jeffrey berkata parti itu mendakwa mereka memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah tetapi sebenarnya lebih bersimpati kepada pendatang tanpa izin atau PTI. Jika parti itu berkuasa dikhuatiri mereka akan merosakkan Sabah.
Beberapa pemerhati politik melihat mesej perpaduan Kitingan itu telah menutup propaganda pembangkang yang menuduh GRS bersekongkol dengan parti-parti berpusat di Malaya.
“Setiap rakyat Sabah tahu kebenaran bahawa negeri ini diperintah dengan rinsip ‘pecah dan perintah’ selama ini. Namun akhirnya GRS memecahkannya dan menghasilkan formula menyatupadukan pemimpin dengan satu matlamat iaitu ‘perpaduan sebagai sumber kuasa.’
“Tidak mudah menyatukan kawan dan musuh politik dalam satu kem. Namun GRS berjaya melakukannya. Kita bersatu kita pasti kuat. Inilah yang kita mahu selama ini. Sudah tiba masa untuk kita tunjukkan yang kita tidak akan diperintah lagi.
“Pembangkang juga menggunakan naratif politik ini. Tetapi orang tahu mereka akan sentiasa tunduk kepada tuan persekutuan mereka. Dan mereka tidak mempunyai perpaduan yang betul dalam kepelbagaian dalam parti mereka,” katanya.
Turut hadir di majlis itu ialah pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, pengerusi penganjur Datuk Rubin Balang dan presiden parti GRS yang lain.
-Tv Sabah News
0 Comments