Abdul Rahman layak jadi TPM: Musa

Mohd Syukrie Johary
KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan memiliki ciri-ciri untuk menjadi timbalan perdana menteri (TPM) mewakili Sabah, kata Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
“Jika BN menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kali ini, Abdul Rahman paling layak kerana mempunyai dan pernah menjadi menteri Kerajaan Persekutuan ketika BN berkuasa.
“Beliau adalah pemimpin yang layak untuk mewakili suara rakyat Sabah kerana beliau memiliki semua ciri-ciri yang diperlukan untuk menjawat jawatan penting peringkat persekutuan itu,” katanya di sesi perjumpaan dengan penduduk di Kampung Taun Gusi, di sini Sabtu.
Musa berkata, penduduk daerah ini memerlukan seorang wakil rakyat yang mempunyai visi, misi dan perancangan untuk membangun kawasan yang diwakilinya.
“Abdul Rahman mempunyai ciri-ciri itu dan apabila beliau ada kuasa saya yakin dia mampu bawa pembangunan di Kota Belud,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berterima kasih kepada Musa atas kepercayaan yang diberi kepadanya.
Selain itu, Abdul Rahman turut menyatakan ucapan sama kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk, Datuk Musbah Jamil kerana sokongan serta bantuan
“Apa yang berlaku hari ini adalah atas restu semua penyokong, penduduk serta pemimpin besar seperti Musa dan Musbah kepada saya.
“Justeru, semoga kita beroleh kejayaan dalam pilihan raya ini,” katanya.
Abdul Rahman akan dicabar penyandang kerusi Kota Belud mewakili parti WARISAN, Isnaraisah Munirah Majilis dan calon Pakatan Harapan (PH), Madeli @ Modily Bangali.
– Tv Sabah News
0 Comments