Calon BN Libaran ikrar teruskan projek pembangunan terdahulu

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir berazam menyambung agenda pembangunan pemimpin terdahulu demi kesejahteraan penduduk Libaran.
“Sekiranya saya menang dan BN membentuk kerajaan, saya akan meneruskan rancangan pembangunan yang dimulai oleh pemimpin terdahulu.
“Ini kerana rakyat masih memerlukan pembangunan yang baik,” katanya ketika bertemu dengan jawatankuasa bahagian Bersatu Libaran dan pemimpin cawangan Bersatu di Bandar IJM, pada Isnin.
Hadir sama, ADUN Sungai Sibuga Datuk Hamsan Mohd Supain, ADUN Sungai Manila Mokran Ingkat dan Ketua Bahagian Bersatu Libaran, Datuk Zakaria Edris.
Suhaimi yang juga Ketua Bahagian Umno Libaran merayu kepada semua pemimpin Bersatu agar membantunya dalam PRU15.
Suhaimi juga yakin pengundi kali ini sudah dapat menilai pemimpin parti mereka membuat kerja dengan ikhlas, pemimpin parti yang bersama rakyat waktu senang dan susah.
Beliau turut mengingatkan jentera BN dan Parti Bersatu dibawah payung GRS agar bekerjasama dan erat perpaduan.
Dalam pada itu, beliau mahu jentera BN dan jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak melakukan sebarang provokasi, sebaliknya berlapang dada antara satu sama lain demi melaksanakan satu tugas yang sama.
Suhaimi percaya GRS akan memastikan jentera mereka bekerja keras bagi membantu kemenangan calon BN.
“Jentera GRS di semua peringkat sudah diarah untuk bersama dengan jentera BN untuk bergerak seiring melaksanakan tugas menjelang hari mengundi pada 19 November ini,” katanya.
Suhaimi turut berpuas hati dengan gerak kerja jentera BN memasuki hari ke-empat kempen Pilihan Raya Umum Ke-15.
Menurut beliau, jentera parti di 17 Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang dilawatinya setakat ini telah menjalankan tugas masing-masing dengan baik dan tersusun.
PDM terlibat termasuk Pamaguan, Batu Putih, Sungai Kayu, Tinusa 1, Batu 8 Jalan Labuk, Fajar, Merpati, Jalan Labuk, Sibuga, Sungai Batang, Padas, Dandulit, Jaya Bakti, Sungai Dusun dan Batu 25 selain dua sub PDM iaitu Batu Putih dan Tinusa.
– Tv Sabah News
0 Comments