Calon Pejuang, Bebas tidak rancak berkempen di Tuaran

Mohd Syukrie Johary
TUARAN: Tiga hari kempen dan hanya tiga daripada enam calon bertanding kerusi parlimen Tuaran yang benar-benar menonjol diri dengan bertemu penduduk untuk meraih sokongan mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Mereka ialah calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai; calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan calon Warisan Joanna Sue Henley Rampas.
Tiga calon itu memulakan kempen dengan mengadakan perjumpaan di beberapa perkampungan di Tamparuli dan Kiulu, sebaik proses penamaan calon selesai pada 5 November lalu.
Calon Pejuang, Muminin Kalingkong @ Norbinsha dan dua calon BEBAS iaitu Boby Lewat dan Datuk Noortaip Suhaili pula kelibat mereka belum kelihatan mengadakan perjumpaan dengan pengundi Tuaran selepas tiga hari berkempen.

Apapun, suasana kempen sama ada perjumpaan atau dari rumah ke rumah belum begitu rancak. Begitu juga dengan perang poster dan bendera yang masih tidak mencapai tahap ‘panas.’
Tinjauan mendapati, hanya GRS dan PH sudah memulakan perang bendera dengan memasang bendera parti masing-masing pada bahu jalan kampung dan jambatan.
Parlimen Tuaran yang mempunyai 83,419 pengundi berdaftar dimenangi Tangau atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
Bagaimanapun, Tangau yang memimpin parti UPKO meninggalkan BN selepas PRU14 untuk bergabung dengan Warisan menubuhkan kerajaan negeri yang hanya mampu bertahan pemerintahannya selama 22 bulan.
Tindakan Tangau itu menimbulkan kemarahan pengundi Tuaran menyebabkan beliau tewas dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu ditangan Joniston pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).
Kali ini, mereka bertembung lagi di pentas politik lebih tinggi untuk menguji pengaruh serta kehebatan siapa yang bakal menjadi pilihan pengundi Tuaran nanti.
Jika ditanya kepada enam calon yang mengambil bahagian di Tuaran, masing-masing mendakwa mempunyai peluang cerah untuk menang dengan kelebihan undi besar menawan kerusi parlimen itu, kebenarannya akan terjawab 10 hari kemudian.
Isu kempen GRS untuk memikat hati pemilih ialah mereka berjanji membantu mengembalikan kestabilan politik negeri ini, memulihkan ekonomi dan memenuhi keperluan rakyat yang semakin dihimpit kesulitan.
PH dan Warisan pula masih membawakan isu lapuk iaitu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta jawatan penting dalam kerajaan, rasuah di kalangan pemimpin serta kegagalan kerajaan lalu memenuhi tuntutan negeri ini.
Apa juga yang dijanjikan calon bertanding tidak sewajarnya diterima bulat-bulat penduduk terutama pengundi yang bakal membuat pilihan pada pilihan raya yang dianggap sebagai penentu hidup dan mati beberapa parti politik.
Kerancakan kempen parti politik dengan calon silih berganti masuk kampung berkenderaan mewah sedikit melekakan penduduk yang sudah lama tidak didatangi orang besar seperti itu.
Sehubungan itu, mengundi itu adalah tanggungjawab setiap rakyat negara ini yang sudah berdaftar, namun undi itu pula adalah rashia dan boleh diberitahu kepada siapa pun.
– Tv Sabah News
0 Comments