Operasi jejaki banduan di Semporna diteruskan

SEMPORNA: Operasi untuk menjejaki banduan berbahaya yang melarikan diri dari Selatan Filipina dan didakwa bersembunyi di Semporna akan terus dijalankan, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah.
“Pasukan Keselamatan akan menjalankan operasi berterusan,” katanya menambah banduan itu dipenjara atas jenayah membunuh.
Berdasarkan sumber risikan, banduan yang dikenali sebagai Alnazar Jalilul Abdain itu dipenjara atas jenayah membunuh dan melarikan diri dari penjara Tawi-Tawi pada jam 7 malam, 26 September lalu.
Selepas beberapa minggu operasi, pihak berkuasa Filipina berjaya menjejaki Alnazar bersama penjenayah rentas sempadan yang juga anggota Kumpulan Militan Abu Sayyaf (ASG) Haibin Mubin di Sitangkai Filipina awal Oktober lalu.
Bagaimanapun, Haibin yang juga dalam senarai dikehendaki Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mati ditembak dalam insiden berbalas tembakan pada 16 Oktober.
Alnazar dipercayai melarikan diri ke Semporna dengan menaiki bot sebaik mengetahui insiden itu. Dia yang dikatakan mempunyai kenalan di Semporna dipercayai merancang untuk mencari perlindungan daripada mereka.
“Kita mendapat maklumat mengenai dakwaan Alnazar melarikan diri ke Semporna pada 27 Oktober dan operasi keselamatan segera dijalankan untuk tindakan lanjut,” katanya.
Idris berkata, operasi untuk memperketatkan kawalan sempadan sudah dilakukan. Namun, sehingga sekarang tiada maklumat yang mengesahkan penjenayah itu sudah memasuki Sabah atau bersembunyi di Semporna seperti yang didakwa.
Pasukan keselamatan negara bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk menyelesaikan kes ini.
– Tv Sabah News
0 Comments