Sunday, April 20, 2025

Rakyat Sabah digesa pilih calon parti tempatan

Huguan Siou (Pemimpin Agung) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digesa mengundi parti tempatan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang bagi memperkukuhkan tuntutan terhadap apa yang menjadi hak negeri ini daripada Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Huguan Siou (Pemimpin Agung) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, pengundi boleh menyokong sesiapa sahaja yang difikirkan mereka sesuai dengan diri memandangkan banyak parti politik yang ada di Sabah.

“Untuk berlaku adil kepada pengundi, terutamanya generasi muda, calon mesti mempunyai dalam fikiran mereka prinsip untuk melindungi Sabah dan masa depannya, serta keselamatan dan pembangunan generasi akan datang,” kata bekas ketua menteri itu dalam satu kenyataan pada Sabtu (15 Okt).

“Mereka mesti menyokong dan mengundi calon yang mewakili parti politik tempatan yang lebih menjurus kepada semangat bersedia untuk memperjuangkan Sabah serta tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi yang merugikan Sabah dan generasi masa depannya,” katanya.

Pairin mantan Ketua Menteri yang juga presiden dan pengasas Parti Bersatu Sabah (PBS), iaitu antara parti tertua di negeri ini berkata, pengundi juga mesti dipandu oleh suara daripada akar umbi.

“Daripada apa yang kita kumpul setakat ini, penyokong akar umbi memberitahu bahawa dalam pilihan raya parlimen ini, mereka perlu memilih parti tempatan yang lebih menjurus kepada dasar untuk melindungi hak dan kepentingan Sabah.

“Ini lebih baik daripada parti dari luar yang mempunyai agenda lain selain tiada fokus untuk melindungi hak dan masa depan Sabah. Parti luar lebih kepada agenda untuk menguasai dan mengawal Sabah. Penyokong akar umbi melaung ‘cukupah,’ katanya.

Pairin berkata, pilihan raya umum ini bukan sahaja penting tetapi juga mempunyai signifikan apabila membabitkan sidang parlimen yang akan datang selepas pilihan raya, khususnya, dalam konteks hak Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, ini bermakna tumpuan rakyat adalah untuk menekankan dan melindungi hak serta kepentingan Sabah melalui 25 kerusi parlimen di negeri ini atau 26, jika Labuan dimasukkan.

“Secara teorinya, Ahli Parlimen dari Sabah mesti mempunyai satu suara dan hala tuju yang mampu melindungi hak dan kepentingan Sabah serta kedaulatannya. Ini supaya kita tidak dibuli oleh kuasa yang ada di Parlimen yang tidak memberi kita peluang untuk membebaskan diri kita daripada keadaan neo-kolonial sejak British menyerahkan kita kepada Tanah Melayu.

“Oleh itu, untuk menyuarakan peranan kita di Parlimen dengan satu suara, kita mesti berdiri dengan tegas dan bersatu bersama sebagai saudara.

“Kita patut mencontohi Sarawak. Pemimpin kita memberitahu yang mereka akan bekerjasama rapat dengan Sarawak.

“Marilah kita anggap pendekatan bersatu ini secara serius supaya pemikiran kita boleh diubah menjadi tindakan aktif dan positif dalam menghasilkan produk ‘berbentuk sama’,” jelas bekas ahli Parlimen Keningau itu.

Pairin ialah abang kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan, yang mengetuai Parti Solidariti Tanah Airku, sebuah parti politik tempatan dan merupakan ahli gabungan pemerintah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

-Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights