Sunday, April 20, 2025

MUDA SABAH ALU-ALUKAN KEPUTUSAN ANWAR

Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien

KOTA KINABALU: Parti MUDA Sabah mengalu-alukan keputusan yang diumumkan oleh Presiden Majlis Pakatan Harapan (PH) Datuk Sri Anwar Ibrahim yang bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan Parti Muda.

“Ini adalah perkembangan yang baik dan petanda bahawa MUDA Sabah yang diketahui sebagai pesaing politik terutama apabila majoriti pengundi datangnya daripada mereka yang berusia muda dan pertama kali mengundi,” kata Pengerusi Muda Sabah, Amos Thien.

Katanya, kerjasamanya itu akan membenarkan MUDA Sabah dan PH Sabah untuk bekerja rapat bukan sahaja ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 ini tetapi juga dalam pilihan raya Negeri Sabah yang ke-17.

Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa pemimpin MUDA Sabah dan PH mempunyai hubungan rapat sebelum parti itu didaftar secara rasmi.

Kedua-dua parti memahami dan bersetuju bahawa pembangkang yang bersatu merupakan satu-satunya jalan untuk menentang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Thien juga mendedahkan bahawa MUDA Sabah ‘mengintai’ beberapa kerusi parlimen untuk ditandingi dan untuk itu, beberapa siri pertemuan sedang berjalan untuk membincangkannya.

“Keputusan muktamad akan diumumkan oleh MUDA Sabah dan PH Sabah memandangkan kedua-dua parti mempunyai autonomi apabila ia membabitkan hal-hal yang berkaitan dengan negeri,” tambahnya.

Pakatan pilihan raya itu memberi peluang kepada MUDA Sabah untuk membuat kemunculan sulung dengan menggunakan logonya sendiri selepas ia bekerja keras membawa ‘politik khidmat’ di setiap pelusuk negeri.

–Tv Sabah News

Banner Content

0 Comments

Leave a Comment

Verified by MonsterInsights